Mesej Ketua Projek, USM

Susie 1

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana sekali lagi memberi kepercayaan kepada USM untuk menjadi institusi peneraju bagi melaksanakan satu projek perintis. Projek baru ini melibatkan lima buah sekolah di Taiping untuk Program Pendidikan Inklusif Holistik (HIEP). Program ini diuruskan melalui geran yang disediakan oleh PADU, Kementerian Pendidikan.

Sistem pendidikan Malaysia telah diperkembangkan bagi memberi sokongan dan pendidikan untuk semua pelajar. Apabila masyarakat semakin maju dan ekonomi stabil, maka kesedaran pun semakin meningkat bahawa semua ahli masyarakat perlu bekerjasama dan memikul tanggungjawab untuk memberi pendidikan kepada anak-anak termasuk mereka yang memerlukan pendidikan khas. Kekurangan atau ketiadaan sumber perlu dihadapi dan diatasi dengan berkesan. Amalan terbaik dan cabaran pendidikan inklusif perlu dikaji dan penyelesaian inovatif dirumuskan, seterusnya dilaksanakan dengan mengambil kira kerelevenan budaya, keberkesanan kos dan kelestarian.

Inclusion ialah mengenai memberi kepada setiap individu semangat kekitaan/pemilikan, kehormatan dan nilai-nilai. Ia adalah satu amalan untuk memastikan semua orang yang berbeza keupayaan mempunyai peranan masing-masing yang perlu dimainkan bagi mengekalkan aspirasi dan kebajikan masyarakat. Menjadi harapan kami agar program ini boleh meningkatkan bilangan murid berkeperluan khas di Malaysia yang memasuki pendidikan aliran perdana bermula di peringkat sekolah rendah. Pendidikan holistik akan membolehkan penyampaian pendidikan berkualiti yang sejagat dengan menyediakan peluang dan akses yang sama rata kepada semua pelajar tanpa diskriminasi.

Program Pendidikan Inklusif Holistik (HIEP) direka untuk melibatsama semua pemegang taruh supaya halangan dapat dielakkan. Kita mesti berubah untuk menampung perbezaan dan menentang diskriminasi yang berkaitan dengan orang-orang yang berkeperluan khas. Dengan persekitaran yang inklusif, akan merangsang harapan yang lebih tinggi dan peluang yang lebih luas untuk interaksi sosial. Pelajar lain akan mendapat manfaat daripada interaksi dengan rakan sekelas yang berkeperluan khas dan pendedahan kepada gaya pembelajaran yang pelbagai. Ini akan dapat menimbulkan perasaan belas kasihan terhadap orang kurang upaya.

Ahli projek ini terdiri daripada lebih 30 orang profesional, penyelidik dan individu dalam bidang berkaitan yang akan membantu kami untuk membuat perbezaan. Pasukan ini akan menjalankan pentaksiran multidisiplin bagi murid berkeperluan khas,dan memberi seminar kesedaran serta bengkel latihan profesional untuk semua pemegang taruh supaya dapat memahami dan memperolehi kemahiran bagi memastikan kejayaan HIEP untuk Malaysia.

Profesor Dato' Dr See Ching Mey